Monday, July 01, 2013

Hukum Karma

Buat baik dibalas baik. Buat jahat dibalas jahat. Hukum Karma mengatakan sedemikian. Aku tidak berpendapat begitu. Mengapa? Kerana aku telah berbuat baik, namun balasannya, tidaklah seperti yang diduga. Bukan sekali dua. Banyak kali. Telah berulangkali. Bukan aku mengharapkan balasan yang setimpal dengan apa yang telah aku lakukan. Bila orang meminta pertolongan dan kamu mampu menolongnya (tidak kira apa pun jenis atau bentuk pertolongan itu), setidak-tidaknya, hormatlah atau hargailah mereka ini. Namun sebaliknya pula yang terjadi, orang yang telah memberi pertolongan disindir riak, sombong dan berbangga diri apabila berlaku sesuatu salah faham dan tidak sependapat di antara mereka. Mudah benar mereka melupakan. Bila hidup mereka sudah agak senang, kita ini usahkan dia mahu pandang. Menoleh pun sudah tidak sudi.
Aku takut mahu berbuat baik kini. Takut hati aku terus disakiti. Aku berkira-kira untuk tidak terlalu naif lagi. Cukup-cukuplah dengan apa yang telah aku lalui. Jangan hanya mendekati aku ketika susahnya kamu. Terima aku sebagai aku. Jangan bersama dengan aku kalau kamu ada maksud tertentu. Sesudah mempergunakan aku, ini balasan yang aku terima? Ini yang aku dapat setelah bersusah payah untuk kamu? Bagus! Tahniah! Terbaiklah! Kamu telah berjaya membuat jiwa aku menderita dan kacau, tahu?
Aku cuma mahu bersama mereka yang sudi menerima aku. Baiknya aku. Buruknya aku. Terimalah aku apa adanya. Jangan memuji hanya kerana kamu mahu mengeji. Manusia memang tidak  sempurna. Tiada sesiapa yang sempurna melainkan Allah jua. Jika aku ada membuat silap, kamu pun serupa. Cumanya aku akan pastikan, aku lebih berwaspada kini. Jujur aku boleh katakan, aku tahu siapa yang menyukai dan siapa yang membenci diri ini.
Aku tahu siapa kamu. Kamu pun tahu, kamu daripada golongan yang mana satu.
Yang sukakan aku atau yang bencikan aku.
Pilihan di tangan kamu!

No comments: