Friday, June 05, 2015

Selamat Tinggal Adila

Assalamualaikum...

Sekitar jam 2.30 pagi tadi, aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon. My nephew, Al-Annas telah mengkhabarkan satu berita yang cukup mengejutkan. "Adila dah tak ada Makcik!" Aku pantas bertanya, "Adila pergi mana Annas?" (Adila seorang OKU - Orang Kurang Upaya. Anak Istimewa my eldest sister yang berumur 19 tahun 10 bulan). My nephew menjawab, "Adila dah tak ada Makcik. Dia ikut ayah dah!" (Ayah Adila, my brother in law telah meninggal dunia pada tahun 2011.)

Pantas aku terus ke rumah Kak Long yang terletak cuma selang beberapa buah rumah dari rumah bersama suamiku. Kami cuma berjalan kaki berdua. Di situ, terbaring kaku sekujur tubuh kurus tinggi milik Adila. Merah mata si ibunya. Duduk bersimpuh di sisi anak gadisnya itu.

Punca kematian, Adila sesak nafas. Sebaik sahaja Kak Long pulang dari berniaga di kedai makannya, Adila jatuh ke atas lantai. Beralaskan carpet merah di ruang tamu rumah. Adila dijaga oleh abangnya, Asyraf tatkala Kak Long keluar berniaga di kedai makan.

Sebaik menyebut perkataan Mak! Mak!, Adila telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Adila tidak bisa berkata-kata. Lahir tidak cukup bulan. Hanya sebesar tapak tangan si ibu. Doktor juga telah mengambil air tulang belakang tanpa kebenaran oleh ibu bapanya. Mengalami sawan tarik sudah menjadi kebiasaan seumur hidupnya. Deritanya berakhir hari ini. Derita yang tidak perlu dia tanggung lagi. Dia pergi dengan begitu mudah sekali. Tanpa menyusahkan sesiapa pun jua.

Sekitar jam 10.00 pagi, van jenazah tiba untuk mengambil arwah Adila. Terus dibawa ke masjid di hadapan rumah untuk dimandikan. Kematian pun sudah dilaporkan kepada pihak Polis. Mereka mahu membuat Post Mortem namun tidak dipersetujui oleh Kak Long.

Aku masuk ke ruang untuk memandikan arwah Adila. Peluang yang memang aku tunggu dan nanti kerana ingin merasakan pengalaman memandikan jenazah. Kali pertama, tahun 2011, aku berpeluang memandikan jenazah Nenek, Ibu kepada arwah Abahku. Tanpa sedikit rasa takut, aku menolong kakak-kakak memandikan arwah Adila. Ya Allah! Beginilah juga kita bilamana kita meninggal dunia nanti. Diletakkan di dalam keranda, dibawa ke masjid untuk dimandikan, dikafankan, disolatkan, dan dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Semua urusan ini berjalan semudah menyebut A, B, C. Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar. Saudara-mara yang telah dihubungi datang bertandang ke masjid juga di rumah.

Ketika kakak-kakak memakaikan kain kafan, mereka tidak henti-henti memuji si arwah. "Cantiknya dia! Cantiknya dia!" Berulang kali sambil tersenyum. Ku dongakkan kepala, (aku duduk di kaki arwah), putih bersih wajahnya. Riak muka seperti dia sedang lena tidur. Syukur Alhamdulillah.

Selesai urusan solat jenazah, kami ke kubur pula untuk urusan pengkebumian. Bersama-sama ahli keluarga mencangkul tanah untuk menutup kubur arwah. Jikalau kerja berpakat, kerja akan selesai dengan cepat dan mudah.

Tatkala mendengar bacaan talkin, hati sayu memikirkan arwah. Beginilah juga keadaannya bila aku mati nanti. Semoga Allah permudahkan urusan kematianku. Aibku dijaga rapi. Itu yang aku mahu Ya Allah. Itu doa yang aku panjatkan selalu. Matikan aku dalam iman Ya Allah! Matikan aku di dalam iman. Matikan aku sebagai seorang yang beragama Islam. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tenanglah kau di sana Nur Adila Binti Romli. Sudah pasti syurga tempatmu sayang. Makcik pasti rindukan Adila nanti.

Kak Long cerita tadi, setiap malam arwah akan menunggu ibunya pulang dari kedai makan. Dia akan tidur di ruang tamu dan tatkala ibunya pulang, arwah akan terjaga dan terus menerpa ke arah pintu. Malam tadi pun sama. Semasa arwah mahu bangun itulah dia terus jatuh ke atas lantai. Dalam 2 hari ini, arwah tidak mahu makan nasi. Apa bila diperiksa di dalam mulut, gusinya merah dan sakit seperti tonsil. Arwah tidak sempat memakan Roti Gardenia dan Air Milo yang dibelikan oleh ibunya. Ibaratnya, dia mahu pergi tetapi menunggu ibunya pulang ke rumah dahulu.

Setiap malam sebelum tidur, Kak Long meminta maaf kepada arwah kerana terpaksa meninggalkannya untuk berniaga di kedai makan. Setiap kali itu juga, arwah mengangguk-anggukkan kepala. Tanda memahami.

Allahu!

2 comments:

mus said...

Semoga Allah merahmati roh allahyarham. Semoga Allah juga berikan kekuatan dan kesabaran kepada keluarga yang tinggal untuk menghadapi pemergian itu.

A.I said...

Allahuakhbar :(

Salam Takziah T.
Innallilah. Al~Fatihah utk arwah.