Assalamualaikum...
Momen kehilangan ahli keluarga menjelangnya hari raya selalunya daku tonton di kaca televisyen. Selalunya air mata pasti mengalir laju kerana turut merasai emosi yang dilakonkan watak-watak tersebut. Tetapi inilah hakikat yang sebenar. Bukan lakonan semata-mata. Realitinya kini aku telah kehilangan Abah tersayang. Mat Yusof Bin Omar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Subuh di akhir Ramadhan, 7.8.2013.
Ya Allah, aku redha. Jika itu takdir yang telah engkau tentukan. Sekiranya itu yang terbaik, kami relakan pemergian Abah. Sudah agak lama Abah menderita sakitnya itu. Hanya mampu terbaring tidak berdaya untuk bangun lagi buat sekian lamanya.
Jasa Abah akan tetap dikenang. Membanting tulang semaksimum mungkin demi membesarkan lapan orang anaknya. Tidak pernah sekali pun kami dipukul jika membuat kesalahan. Kasih dan sayangmu terus ku dakap erat. Abah senantiasa di sisi. Terletak istimewa di sudut hati.
Terima kasih buat saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga yang datang berkunjung sama ada di rumah atau menziarahi Abah di kubur. Jasa kalian tidak terbalas. Hanya Allah yang bisa membalasnya kembali dengan memberi limpahan rezeki dan rahmat buat kalian.
Ya Allah, kasihanilah dia. Kau ampunkanlah dosa-dosanya. Semoga arwah Abah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh.
Air mata sudah tidak bersisa lagi.