Showing posts with label BILA JARI MENARI. Show all posts
Showing posts with label BILA JARI MENARI. Show all posts

Tuesday, July 24, 2018

Keliru


Kalau sayang,
Zahirkan perasaan.
Usah diragu, usah disimpan.

Kalau rindu, beritahu.
Supaya rasa tidak terkeliru,
Hidup seringkali bercelaru.

Kalau benci,
Jangan dikecilkan hati,
Maafkan sahaja dan usah diungkitkan lagi.



Luahkan segalanya,
Dipendam jangan sesekali.
Kelak kamu merana diri.
Mengharap cuma pada yang tak sudi.

Friday, February 01, 2013

GERAK HATI

Assalamualaikum...

Daku punya gerak hati yang sangat kuat. Ianya seperti ini. Bila daku terfikirkan seseorang, tak lama lagi muncullah orang itu. Atau daku akan mendapat berita darinya. Tak kira mereka dari kalangan keluarga atau pun kawan-kawan. Macam ketika tiba-tiba daku berkata begini, "dah lama tak dengar lagu sekian-sekian", eh tiba-tiba lagu tersebut daku dengar di radio atau "dah lama tak dengar pasal artis tu", tiba-tiba terbaca di majalah atau surat khabar tentangnya. Daku juga boleh membaca "suara" orang di dalam talian telefon. Kita boleh "rasa" samada mereka suka atau tidak ketika berbicara dengan kita pada masa itu. Rasanya setiap daripada kita pun punya "rasa" inikan? Sesuatu yang tak disangka. Ia datang dengan sendiri. Tanpa kita selalu memikirkannya. Tiba-tiba dia muncul begitu sahaja.

Ini apa yang berlaku pada hari ini.

Sudah agak lama tidak menelefon emak saudaraku, Mok Su di Tanah Merah, Kelantan. Subuh tadi daku terjaga (semasa orang sedang membaca Al-Quran sebelum azan). Daku termimpikannya. Mimpi berbual bersama sepupu (anaknya). Bila ku tanyakan khabar Mok Su kepada sepupuku, dia berkata "Mok Su dah lama...... " Ayatnya tergantung. Lantas daku tersedar dari lena. Memang dah lama terfikirkannya dan hasrat hati mahu menelefonnya untuk bertanya khabar. Tetapi seringkali hasrat itu tertangguh-tangguh. Maka tadi, daku menelefonnya. Mok Su menjawab. Daku tanya,  "Mok Su tengah tidur ke?" Dia menjawab perlahan, "Mok Su demam!" Ya Allah, bersalahnya daku tatkala itu. Setelah berbual seketika (tak lama coz daku rasakan kesakitannya itu, so biarlah dia berehat dulu), daku meminta maaf kerana sudah lama tidak menelefon. "Lama" di sini adalah dalam 3-4 bulan. Daku berkata "bukan tak ingat, bukan tak mahu menelefon tapi ianya sering tertangguh-tangguh". Mok Su jawab, "tak apa, Mok Su faham" (selagi boleh dia mahu menjaga hatiku). Bila daku meminta maaf, dia pun meminta maaf juga (sesuatu yang daku rasakan tidak wajar kerana dia tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap diriku!) Lantas dia berkata di dalam tangisannya yang semakin melebat, dengan suara yang tertahan-tahan, "Mok Su tak anggap T anak saudara Mok Su, Mok Su anggap T macam anak Mok Su sendiri. Ya Allah, air mataku mengalir laju tatkala itu! Betapa daku bersalah tidak menelefon bertanyakan khabarnya walau sebentar cuma. Betapa daku mementingkan diri. Tidak punya waktu bertanyakan khabarnya kerana dia cuma Emak Saudaraku! Orang tua yang cuma mengharapkan sedikit waktu dari kita. Tak ke mana masa dan duit kalau mahu menelefon orang tua. 10-20 minit sudah lebih dari mencukupi. Tak jatuh bankrap atau muflis hanya disebabkan itu. Biarlah bukan ibu sendiri, Emak Saudara itu anggaplah juga sebagai ibu sendiri.

Pengakhiran kata dengan Mok Su tadi, "Ma, raya cina ni T kelik kelate. Nok jupo Ma & Abah (Mok Su & Pok Su). Mok Su masih di dalam tangisan tatkala daku ucapkan bye-bye & Assalamualaikum.

T sayang Mok Su & Pok Su. T sayang Ma & Abah.

Sayang sebanyak sayang yang ada.

Pagi tadi bulu mata belah kanan daku gugur ke pipi. Siapa di antara kalian yang rindukan daku? Daku agak Mok Su barangkali. Orang jauh yang sedang merindu. Oh!

Saturday, July 24, 2010

BILA CINTA DIDUSTA



Amri terdiam mendengar kata-kata yang terpancul daripada mulutku. Suasana bungkam seketika. Aku dapat merasakan getaran yang bergelodak di jiwanya. Ya Allah!! Kuatkanlah semangat hamba-Mu untuk menghadapi keadaan ini. Aku berdoa di dalam hati. Dan, di saat kakiku melangkah pergi, Amri menyeru namaku, "Shafika, Abang tahu Abang bersalah. Tapi berilah Abang peluang untuk membetulkan kesalahan yang telah Abang lakukan ini". Dia merayu lagi. Sama seperti setiap kali dia cuba memujukku. "Tidak Abang, Fika telah banyak beri peluang untuk Abang membetulkan kesalahan Abang. Bukan kali ini saja. Sudah banyak kali Fika bersabar dengan karenah Abang. Fika sudah muak dengan rayuan Abang. Kali ini keputusan Fika nekad. Kita putus saja dan jangan Abang cari Fika lagi. Fika dah serik Abang!! Maafkan Fika. Fika pergi dulu". Dan aku tanpa rasa bersalah dan ragu-ragu, melangkah pergi meninggalkan bakal suamiku itu tanpa menoleh lagi kepadanya. Ku dengar suara Amri terus memanggil. Ku biarkan saja suaranya tenggelam dek deruan kereta yang ku pandu laju. Selaju denyutan jantungku yang tidak keruan memikirkan masa hadapanku tanpa Amri lagi di sisi.

Shafika menggeliat malas. Dia menggosok-gosok matanya yang masih kabur itu. Matanya memandang ke siling. Kosong. Sekosong hatinya setelah meninggalkan Amri semalam. Lelaki yang telah memusnahkan hati dan perasaannya. Lelaki yang telah membuatnya merasa cukup terhina. Lelaki yang argh!!... Buat apa lagi aku memikirkan tentang dirinya?? Yang lalu biarkanlah berlalu. Apa yang patut aku lakukan sekarang ialah cuba melupakan Amri, kenangan bersamanya dan memulangkan semula cincin pertunangan kami yang termeterai tiga bulan yang lalu.

Tujuh tahun bukan tempoh masa yang singkat untuk pasangan yang bercinta. Selama itu jugalah aku yang selalu mengalah dan bersabar di dalam segala hal. Sedangkan Amri, lelaki itu, hanya berpura-pura menyintaiku. Tidak ku sangka kasih yang disemai, mati disirami racun berbisa teman karibku sendiri, Tina. Sungguh kejamnya dia!! Cuba merampas cinta Amri daripadaku. Tina yang ku kenali sejak di bangku sekolah lagi sanggup menikamku dari belakang. Dan Amri, tanpa memikirkan hati dan perasaanku, membuat hubungan sulit bersama Tina hingga dia mengandungkan anak luar nikah. Tina kini hamil dua bulan!!

Allah mungkin ingin menguji setabah mana hamba-Nya ini. Aku terpaksa memutuskan ikatan pertunangan ini supaya Amri boleh bertanggujawab ke atas Tina dengan apa yang telah mereka berdua lakukan. Aku serik untuk bercinta lagi. Pedih ku rasakan bila cinta suciku didustai oleh insan yang benar-benar aku sayangi dan harap-harapkan untuk menjadi pasangan hidupku hingga ke akhir hayat. Entahlah. Mungkin ada rahmat di sebaliknya. Bila Cinta Didusta.




Bila cinta didusta
Hati mula gelisah
Hilang kekasih hati
Hidup jadi merana
Insan jadi idaman
Kini dimilik orang
Cinta yang diimpikan
Putus di tengah jalan
Terpaksa mengalah
Mengapa menyinta
Andainya tak setia
Tak usahlah bercinta
Jika hanya berpura
Bila hati dah jemu
Mula berpaling tadah
Tak pernah difikirkan
Orang yang ditinggalkan
Terseksa, sayu.. pilu
Oh merayu-rayu
Oh ingin kembali
Oh meratap sayu
Tidak mungkin orang simpati
Menoleh pun tak sudi
Andainya ditakdirkan
Cintamu didustai
Pastinya kau mengerti
Seksanya perpisahan
Hanyalah ditemani sesalan

** ini adalah coretan t.. seingat t, t menulisnya pada tahun 1999.. tak ada kena mengena dengan diri t.. idea terus datang bila dok dengar lagu bila cinta didusta ni.. pikir jalan cerita dan inilah dia.. t memang suka menulis.. dulu t rajin hantar ke akhbar mingguan berkenaan sajak, pantun, puisi.. lama-lama semangat menulis tu dah hilang.. rasa nak menulis pun diabaikan saja sebab siapalah t untuk menulis... tak ada pendidikan yang tinggi.. setakat menulis yang merapu gini ajelah.. :-* **

Happy Birthday Baby Manis

Assalamualaikum,  Hari ini baby Covid Ummi ni dah genap setahun. Begitu pantas masa berlalu ya? Baru rasa macam semalam sahaja Ummi melahirk...